Dengan
kemudahan teknologi yg kita ada, kini mencari ilmu bukan lagi sepayah dahulu.
Dahulu, nak belajar agama kena ke madrasah, surau atau pondok. Kini kita ada
sekolah-sekolah agama yg melahirkan generasi celik agama. Kita juga ada
kemudahan seperti AlQuran elektronik berserta terjemahannya dan juga bacaan
AlQuran dalam bentuk mp3 yg dengan mudahnya disuap ke lubang telinga. Tak
kurang juga adanya hadith-hadith nabi dalam bentuk digital.
Dalam
kemudahan mencari ilmu agama ini, tampak wujud golongan-golongan bijak pandai,
yg berkerjaya professional dan teknokrat, menggelar diri mereka celik agama dan
dengan mudah memperlekehkan ilmuwan-ilmuwan tua dan pendapat-pendapat mereka.
Berbekalkan terjemahan Al-Quran dan juga
terjemahan hadith-hadith Bukhari dan Muslim, mereka membantai ulama-ulama tua
dan menyifatkan yang ulama-ulama ini “buta dalil”, mengambil hukum dari lidah ulama silam, bukan dari sumbernya iaitu AlQuran dan sunnah.
Tak
cukup dengan itu, ulama-ulama silam turut dipertikaikan. Fatwa Imam Syafie pada
pandangan mereka bercanggah dengan hadith-hadith yg mereka dapati dari
terjemahan yg mereka punyai. Lalu dikritik Imam Syafie sehinggakan ada yg
hilang rasa hormat terhadapnya dengan menggelar ulama besar itu “Budak Pie”.
Semangat ke arah mendalami agama itu wajar dipuji, terutama bila semangat itu wujud dalam diri
jurutera, jurubank, ahli perniagaan dan pengamal undang-undang. Namun perlu
mereka ini sedar yg agama itu bukan secara zahir dan mentah kita ambil dari
Al-Quran dan Hadith. Untuk memahami Al-Quran, pengetahuan mendalam di dalam
Bahasa Arab merupakan satu kemestian, kerana AlQuran diturunkan dan juga hadith
dilafazkan di dalam bahasa arab. Bahkan perbezaan dlm bahasa antara faktor yg
menyumbang kepada wujudnya perbedaan yg luas dalam pengistinbatan hukum di
kalangan ulama. Memahami Alquran dari terjemahan di dalam bahasa melayu atau
inggeris bukan satu jaminan kepada pemahaman maksud AlQuran pada erti kata yg
sebenar.
Satu
contoh yg amat menarik, sebagai mana dinukilkan oleh Ibnu Rusyd di dalam
kitabnya Bidayatul Mujtahid ialah di dalam masalah melafazkan talak sesudah tamat
tempoh ila’ (bersumpah menjauhi hubungan kelamin dengan isteri), samada talak terjatuh dengan tamatnya tempoh sumpah ila` (jatuh talak automatik dengan tamatnya tempoh) atau si suami perlu melafazkan talak (talak tidak jatuh automatik). Jumhur selain
Imam Malik berpendapat jatuh talak dengan tamat tempoh ila’, andainya suami
tidak menarik balik sumpahnya walaupun si suami tidak melafazkan talak. Imam Malik berpendapat talak tidak jatuh dengan
sendiri, walaupun dengan tamat tempoh ila’ dan dalilnya hanyalah kerana
dihujung ayat ila’ menyebut “Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui” dan bagi mereka, "mendengar" di dalam ayat itu menunjukkan kepada perlunya "lafaz" talak. Hanya dengan menggunakan dalil bahasa, ulama Maliki berfatwa menyalahi
pendapat ulama-ulama lain, dan pendapat ini dihormati hingga ke hari ini.
Begitu
juga pentingnya ilmu Usul Fiqh. Andainya AlQuran dan Hadith itu dianggap
sebagai bahan mentah (raw material), ilmu usul fiqh ialah peralatan, kaedah-kaedah yg
digunakan untuk mendapatkan hasil, iaitu hukum. Ulama menyusun usul fiqh
sebagai peralatan dalam mengeluarkan hukum dari kedua-dua kalam suci, AlQuran
dan Sunnah.
Tak
kurang juga pentingnya pemahaman mengenai kebarangkalian wujudnya perbezaan
pendapat, kerana manusia bukan semua berfikir dgn cara yg sama. Jadi adab dalam
menghadapi perbezaan pendapat amat penting.
Namun
yang paling penting, mengenali diri sendiri. Imam Syafie mempelajari bahasa arab secara berguru dengan puak badwi yg masyhur dengan penguasaan bahasa arab mereka. Beliau juga menghafaz Muwattta (kitab hadith) Imam Malik sebelum berguru dengan Imam
Malik sendiri. Bahkan ada satu ketika dimana guru kepada Imam Syafie ditanya apakah
sebab rasul melarang sarang burung dari diganggu, gurunya tak dapat menjawab.
Lalu Imam Syafie memberi pendapat yg hadith itu berkaitan dengan hadith lain yg
melarang menilik dan arab jahiliyyah menilik dengan menggunakan burung untuk
menentukan perjalanan mereka ketika berdagang. Sesudah itu gurunya berkata
dimajlis umum, andainya wujud permasalahan dlm pemahaman hadith, rujuklah anak
muda ini (sambil menunjuk kepada Imam Syafie).
Dalam ilmu akhlaq, kita di ajar mengenai "tsiqah" atau "trust" in English. Dalam mempelajari ilmu, kita perlu ada sifat mempercayai mereka yg memberi ilmu, samada yg memberi ilmu itu manusia atau pun tulisan seperti buku. Telah maklum akan kewujudan mereka-mereka yg terkenal tsiqahnya mereka, terutama ulama-ulama mazhab, seperti masyhurnya Mughni Muhtaj dan Iqna' karangan Syeikh Khatib Syarbini mengenai feqah Syafie. Pendapat yg dinukilkan dalam kedua kitab ini telah berabad diperakui sebagai nukilan hukum yg telah ditulis dengan jujur, bersandarkan dalil-dalil AlQuran dan Sunnah. Sikap mempercayai "pembawa ilmu" ini dapat kita lihat dalam diri Imam Syafie, seperti yang tergambar dari kata-katanya yg masyhur "Aku jadikan kitab ini (Muwatta' Imam Malik) sebagai hujah di antaraku dan Tuhanku"
Namun terasa jelak bila melihat mereka-mereka yg mutu bahasa arabnya sekadar tahu mengira dan bertanya khabar, memperlekehkan kitab-kitab fiqh, mengajak umat ke arah berijtihad sendiri dan meninggalkan taqlid. Mereka ini dengan bongkak "mencuba" mengistinbat hukum dari AlQuran dan Sunnah, seolah-olah mereka "ahli" dalam bidang tersebut. Bila mereka ini disogok oleh pendapat ulama, terpacul ayat "mana dalilnya?" dengan megah cuba mempertikai bak alim bijaksana.
Yang peliknya, fenomena ini hanya berlaku bila mereka
mengaji agama. Andai diunjurkan berita ekonomi, sains atau yg
selainnya, tidak di tanya mana dalilnya. Mereka juga menggesa umat
meninggalkan amalan yg tidak ada asas dalam Islam, terutama amalan-amalan yang kononnya
warisan dan "tidak berdalil".
Jadi
bila AlQuran dan sunnah bebas dihurai oleh sesiapa sahaja, tumbuhlah
ideologi seperti Haji Kahar yg mengatakan Surah Yaasin diturunkan
kepadanya. Tak kurang hebatnya Islam liberal yg mendakwa AlQuran
mempunyai kesilapan dari segi tatabahasa dan juga mendakwa bahawa Nabi
bukan buta huruf secara hakiki seperti yg disebut di dalam AlQuran. Tidak mustahil juga jika nikah mutah diharuskan oleh golongan "ahli dalil" ini, kerana adanya hadith yg kuat dari Ibnu Abbas yg menyokong keharusan nikah mutah.
Kita sering terperangkap dengan slogan "ulama-ulama juga manusia biasa seperti kita". Bersemangat dengan apa yg dianjurkan oleh slogan ini, kita hilang rasa rendah diri terhadap ulama-ulama silam dan seterusnya mencambah sikap biadab kita terhadap ulama-ulama dan tradisi keilmuwan yg amat dititikberatkan di dalam Islam.
Ulama-ulama kita ibarat laut dan
kita ibarat sinki dapur. Yang kita tahu barangkali secebis dari apa yg mereka
tahu. Kenal diri kita. Ulama-ulama ini juga telah berabad dipercayai. Tapi kita yg hidup di zaman moden cuba hendak berlagak pandai macamlah kita lagi pandai dari orang-orang dulu. Jangan wujud fenomena tukang emas mengajar tukang kayu bagaimana hendak mengetam, begitu juga jangan kita jadi seperti ahli muzik mengajar peguam bagaimana nak berhujah. Kita hidup dlm bidang masing-masing dan hormatilah mereka
yg arif di dalam bidang itu. Jangan kerana kita hafal hadith dua tiga patah, habis ulama lain kita tuduh sesat, dek kejahilan kita akan berjuta patah lagi hadith yg kita tak hafal.